Bermula dengan idea 'gila', kini bas lama jadi kelas al-Quran percuma
Ifwan Tun Tuah
Mei 13, 2021 15:26 MYT
Mei 13, 2021 15:26 MYT
REMBAU: Empat tahun lalu, idea membuka pusat pengajian al-Quran di dalam bas lama hanyalah angan-angan sekumpulan 13 anak muda yang tercetus ketika minum di sebuah warung di Taman Sri Rembau di sini.
Rancangan mereka besar, mahu memberi pendidikan agama percuma kepada anak keluarga asnaf, walau menyedari diri sendiri bukan orang berada dengan pendapatan tidak seberapa.
Dengan usia masing-masing di awal 20-an ketika itu, ditambah pula bukan semua mereka berlatarbelakangkan pendidikan agama, tidak hairanlah idea itu pernah dianggap 'gila'.
Namun semua itu tidak menghalang anak muda yang menggelar kumpulan mereka 'Rembau Awesome' ini nekad memulakan langkah pertama iaitu mengumpul wang sebanyak RM5,000 dan membeli sebuah bas lama pada Januari 2017.
Dari situ, mereka bekerjasama mengubah suai bas berkenaan untuk menjadikannya selesa termasuk melengkapkannya dengan pendingin hawa selain kerusi dan meja.
Ketua kumpulan berkenaan, Muhammad Allif Ibrahim, 28, berkata, semakin lama semakin ramai yang percaya dengan usaha itu, seterusnya memberi sokongan serta sumbangan untuk membolehkan mereka menyewa tapak di Taman Sri Rembau bagi menempatkan bas berkenaan.
Allif yang juga bekas guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebelum memulakan projek itu berkata, bas berkenaan mula beroperasi secara rasmi pada Mac 2017 dengan dinamakan sebagai Pusat Pengajian Taman al-Quran.
"Alhamdulillah, sejak beroperasi dengan hanya sebuah bas di atas tapak yang kosong, kami berkembang dengan kini mempunyai empat bas selain sebuah kabin kontena dan surau di atas platform terbuka.
"Daripada tapak yang kontang tiada apa-apa, kini landskap di kawasan ini juga cantik malah kerap dikunjungi ramai termasuk pelajar universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu serta berkongsi pengalaman.
"Secara keseluruhan, seramai 170 murid belajar di sini ketika ini. Sebahagian mereka adalah anak asnaf termasuk anak yatim dan miskin yang belajar secara percuma. Malah, kami tidak mewajibkan yuran, jika ibu bapa tidak mampu, mereka tidak perlu membayar yuran," katanya kepada Astro AWANI.
Selain itu, katanya Taman al-Quran kini turut menyediakan bantuan makanan dan perubatan, selain pengangkutan percuma ke hospital bagi golongan memerlukan di kawasan Rembau.
Allif yang juga pengurus pusat itu, berkata walaupun boleh dikatakan stabil selepas empat tahun beroperasi, mereka masih berdepan cabaran terutama membabitkan kewangan.
Katanya, sumber utama dana pusat pengajian itu adalah sumbangan orang ramai serta bayaran yuran yang minimum daripada sebahagian pelajar yang berkemampuan.
"Dengan kos operasi dan pengurusan mencecah RM16,000 setiap bulan termasuk bagi membayar gaji lebih 10 orang tenaga pengajar, bil elektrik dan air, selain menampung kos penyediaan barang keperluan untuk penerima bantuan, ia sebenarnya agak memberi tekanan.
"Tetapi Alhamdulillah, kami dapat bertahan sehingga kini. Motivasi kami adalah tidak mahu ada anak-anak tercicir mempelajari al-Quran hanya disebabkan kesusahan hidup.
"Terima kasih kepada semua yang memberi sumbangan dan sokongan. Kami berharap lebih banyak pihak tampil membantu demi memastikan kelangsungan pusat ini," katanya.
Mengenai keadaan semasa, Allif mengakui, pandemik COVID-19 agak menjejaskan operasi pusat berkenaan terutama membabitkan kehadiran murid.
Katanya, mereka sentiasa mementingkan prosedur operasi standard (SOP) dan mengikut arahan pihak berkuasa termasuk mengurangkan kehadiran murid pada satu-satu masa, malah menggunakan kaedah pengajian secara dalam talian apabila keadaan memerlukan.
Beliau berkata, harapan mereka ketika ini, biarlah pandemik COVID-19 berlalu supaya pusat itu dapat kembali beroperasi sepenuhnya sekali gus memastikan anak asnaf di kawasan itu mendapat manfaat.
#Taman Al-Quran
#Rembau
#idea gila
#bas lama
#jadi kelas pengajian
#taman sri rembau
#rembau awesome
#asnaf
#golongan miskin