Bermimpi jumpa ibu sebelum terima berita meninggal dunia di Mekah
Astro Awani
Ogos 22, 2017 17:45 MYT
Ogos 22, 2017 17:45 MYT
"Sejak kami tahu emak hilang di Mekah, setiap malam kami buat solat hajat di rumah, masjid dan madrasah supaya emak atau jasadnya ditemui. Sehingga saya termimpi-mimpi mak beberapa kali.
"Alhamdulillah pada malam keempat doa kami dimakbulkan."
Itu luahan Norasikin Awang Ahmad, anak keempat Fatimah Senik, 69, yang meninggal dunia di Mekah, pada Rabu lalu 16 Ogos, selepas koma akibat pendarahan dalam otak (haemorrhagic stroke) sejurus rebah semasa menunggu giliran untuk menunaikan ibadat tawaf.
Tambahnya lagi, ibunya begitu teruja sejak terpilih menunaikan haji dan semakin menjaga kesihatan serta kelihatan lebih cergas walaupun berpenyakit akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Norasikin berkata ibunya berlepas ke tanah suci bersama-sama bapanya Awang Ahmad Deraoff dan abang sulungnya Mazuki.
Mereka mendapat berita bahawa Fatimah tidak dapat dikesan akibat pasukan perubatan menanggalkan pengenalan ibunya dan menyerahkannya kepada ayah, yang tidak tahu apa yang berlaku kerana masalah bahasa dan tidak boleh membaca.
"Dah empat hari kami tak dapat berita pasal arwah sampailah satu malam ada staf Tabung Haji hantar gambar suruh kami cam - betulkah gambar emak yang terlantar di hospital.
"Rupanya dia terlantar di Hospital King Abdul Aziz dekat situ. Apabila kami kata itu emak, Tabung Haji bawa ayah dan untuk cam dan memang betullah dia.
"Kami nak berterima kasih kepada pihak Tabung Haji sebab bertungkus lumus cari emak kami masa diberitahu tentang kehilangannya. Pihak hospital pun memang cekap, sebab lepas emak jatuh, terus dibawa pergi," ujar Norasikin.
Norasikin juga mengucapkan terima kasih kepada petugas Tabung Haji (TH) yang berusaha mencari emaknya sehingga ditemukan di Hospital King Abdul Aziz dan turut sering berhubung dengan mereka, selain menguruskan urusan pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Syarai'e, pada 17 Ogos.
Sementara itu, Pengarah TH Pahang Helena Hashim berkata Fatimah merupakan jemaah pertama dari Pahang yang meninggal dunia dan seorang jemaah wanita dari Kampung Dong, Raub yang berusia 89 tahun menjadi individu kedua selepas disahkan meninggal dunia pada 17 Ogos lalu.
“Allahyarhamah mengalami pendarahan dalam otak dan dirawat di hospital di Mekah dan Alhamdulillah dia meninggal dunia di sana dan terus diurus pengkebumian oleh pihak pengurusan Tabung Haji.
"Jenazah dikebumi pada hari yang sama, sesudah subuh," ujar Pengarah Tabung Haji Pahang, Helena Hashim.
Helena menambah, pihak Tabung Haji juga akan melaksanakan badal haji buat Fatimah dan akan menguruskan urusan membawa pulang barangan peribadi arwah untuk diserahkan kepada keluarganya.