Berlumba antara punca kemalangan menjelang Aidilfitri
Bernama
Julai 22, 2014 07:30 MYT
Julai 22, 2014 07:30 MYT
Punca utama kemalangan jalan raya, khususnya semasa musim perayaan, ialah kecuaian seperti berlumba, melebihi had dan melanggar lampu isyarat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata walaupun pelbagai usaha dibuat bagi menangani isu itu namun masih ada segelintir pengguna jalan raya yang tidak mengambil iktibar daripada nahas yang berlaku.
"Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemalangan semasa Op Selamat 3 pada Aidilfitri tahun lepas ialah seramai 258 berbanding 226 pada 2012 iaitu meningkat 14.2 peratus," katanya dalam ucapan semasa pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya (JKJR) peringkat kebangsaan bertema 'Nyawa Dihargai, Keluarga Menanti, Selamat Ke Destinasi' di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datuk Ab Aziz Kaprawi.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah JKJR Datuk Dr Tam Weng Mah.
Liow berkata sempena Aidilfitri tahun ini, mulai semalam PDRM melancarkan Op Selamat 5 manakala dan JPJ melancarkan Ops Bersepadu, yang masing-masing berakhir pada 4 dan 5 Ogos.
Beliau berkata kerajaan juga akan melaksana pelbagai program berdasarkan advokasi dan penguatkuasaan seperti kempen dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.