Berlanggar sesama sendiri: Tiga pelajar maut kemalangan di Tanah Merah

Vivi Sumanti
Julai 9, 2019 09:36 MYT
POLIS: " Siasatan awal mendapati, kesemua mangsa mereka berlanggar sesama sendiri dan terbabas." - Foto Astro AWANI
Tiga remaja maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal berasingan di Jalan Jalan Bukit Panau-Bukit Mas, dekat Kampung Mentango, Tanah Merah, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 10.10 malam itu, mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Muhammad Danial Adam Che Hasim, 17; Abdul Rahman Abdullah, 16, dan Muhammad Nasrun Al Hakim Norl, 14.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, ketika kemalangan itu berlaku, ketiga-tiga mangsa yang masing-masing menunggang motosikal Honda EX-5, Modenas Kriss dan Yamaha dari arah Bukit Mas menghala ke Bukit Panau.
"Siasatan awal mendapati, kesemua mangsa mereka berlanggar sesama sendiri dan terbabas.
"Kemalangan yang berlaku mengakibatkan mereka parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Katanya, siasatan di tempat kejadian oleh pihaknya mendapati keadaan jalan di kawasan itu adalah satu hala dan satu lorong menghala ke Bukit Panau manakala satu lorong lagi menghala ke Bukit Mas.
“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan berkata, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat,” katanya lagi.
#Kelantan #kemalangan #maut #meninggal dunia #Perodua Viva #remaja #Tanah Merah #Tiga remaja maut
;