Berlalu sudah 100 hari, apa pula selepas ini? Dialog Tiga Penjuru 8.30 malam ini

Israr Khalid
Disember 9, 2021 15:48 MYT
Selepas 100 hari... apa lagi yang boleh ditambah baik oleh kerajaan?
KUALA LUMPUR: 100 hari sudah berlalu. Adakah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mencapai apa yang sepatutnya dicapai?
Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9, Ismail Sabri membentuk Kabinetnya pada Ogos tempoh hari dan menetapkan tempoh waktu tersebut untuk setiap kementerian mencapai prestasi yang disasarkan.
Ketika itu negara berada dalam keadaan yang runcing - kesihatannya, ekonominya, kesejahteraan rohani dan jasmaninya, dek pandemik COVID-19. Masalah politik memburukkan keadaan.
Keserabutan perebutan hal kuasa disudahi dengan kata putus Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu, dan membentuk kerajaan baharu dengan matlamat utama menstabilkan serta meredakan suhu politik untuk kembali fokus kepada khidmat masing-masing yang amat diperlukan pada waktu genting.
Pertelingkahan diketepikan seketika -- benar jujur atau ikhlas belakang kira, yang penting mereka nampak kembali bekerja untuk negara. Setiap kementerian, satu demi satu, sedikit demi sedikit hadir dengan inisiatif untuk memberdaya semula hal-hal yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing.
Setiap Perdana Menteri baharu, pasti ada gagasan baharu. Diperkenalkan pula konsep Keluarga Malaysia, untuk mengajak penglibatan seluruh anggota masyarakat dengan kerajaan untuk bersama membangunkan negara.
Hari ini, 100 hari ditetapkan itu sudah berlalu. Selepas segala usaha gerak kerja yang dijalankan, adakah rakyat benar-benar merasainya?
100 hari sudah berlalu, apa pula selepas ini? Ke mana hala tuju kerajaan seterusnya dalam memperkukuhkan ekonomi, sosial, budaya, politik, semangat dan segala yang diperlukan untuk Malaysia kembali berdiri gah di persada dunia?
Malam ini di pentas Dialog Tiga Penjuru, kita bincangkannya bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad; Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma; dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Jangan lupa, jam 8.30 malam di saluran 501 dan astroawani.com.
#Dialog Tiga Penjuru #100 hari #Keluarga Malaysia #KPI
;