Berlaku kejam pukul dan sepak anjing, lelaki didakwa
Sinar Harian
Oktober 16, 2018 14:36 MYT
Oktober 16, 2018 14:36 MYT
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seekor anjing,
Tertuduh, Ng En Choah, 47 dari Nenasi, Pekan mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Bagaimanapun Majistret Nurulnaim Abdullah tidak merekodkan pengakuan bersalah tertuduh selepas mendapati lelaki itu mempunyai rekod masalah mental dan masih menjalani rawatan.
Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Abdullah, tertuduh didakwa secara kejam memukul dan menyepak haiwan tersebut dalam kawasan sebuah premis di Jalan Semambu-Jabor di sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9 pagi, 10 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan sebelum menetapkan 14 November depan untuk keputusan laporan mental tertuduh.
#Akta Kebajikan Haiwan 2015
#cederakan anjing
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#masalah mental
#memukul
#menyepak
#Ng En Choah