Berlabuh tanpa kebenaran, kapal tangki ditahan
Aida Aziz
Januari 25, 2021 15:13 MYT
Januari 25, 2021 15:13 MYT
LUMUT: Gara-gara berlabuh tanpa kebenaran, sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak di kedudukan 4.4 batu nautika selatan Pulau Buloh di sini pada jam 1.15 petang, Sabtu lalu.
Menurut Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman, bot Penggalang 13 yang sedang melaksanakan Op Pintas telah mengesan sebuah kapal tangki yang berlabuh dan mencurigakan di sekitar perairan Pulau Buluh.
"Kapal yang berdaftar di Sierra Leone itu membawa muatan minyak dalam perjalanan dari Linggi ke Indonesia bersama 23 orang kru termasuk master terdiri daripada warga India, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka yang berumur sekitar 30 hingga 65 tahun.
"Kapal tersebut telah ditahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana disyaki melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Tambahnya, kesemua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
"Penahanan ini membuktikan bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Shahrizan berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.