Berkorban jaga suami, anak-anak dijangkiti COVID-19
Nur Fazlizai Ali
Jun 22, 2021 09:15 MYT
Jun 22, 2021 09:15 MYT
DUNGUN: Walaupun tidak dijangkiti virus COVID-19 namun seorang suri rumah terpaksa mengambil risiko dengan turut sama menghuni Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19.
Pengorbanan itu terpaksa dilakukan Sutinah Saat yang berusia 37 tahun selepas suami dan empat orang anak telah disahkan positif COVID-19 .
Menurut Sutinah, terdahulu suaminya Mohd Zaid Nordin, 42 tahun, disahkan positif COVID-19 selepas pulang daripada urusan kerjanya di sebuah pelantar minyak 6 Mei lalu.
Katanya, susulan itu suaminya terpaksa menjalani rawatan di PKRC Darul Iman Training Centre (DITC) di Teluk Kalong, Kemaman.
Bagaimanapun pada 12 Mei lalu, tiga lagi anaknya yang berusia 3, 8 dan 13 tahun turut disahkan positif virus berkenaan dan terpaksa dihantar menjalani kuarantin di PKRC Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Kuala Terengganu.
Katanya, kerana anaknya masih kecil, dia terpaksa menemaninya sepanjang menjalani rawatan di PKRC dan hanya telefon dan panggilan video menjadi perantaraan bagi mengetahui keadaan kesihatan suaminya.
Jelas Sutinah, suaminya meneruskan kuarantin di rumah selepas beberapa hari menjalani rawatan di PKRC.
"Saya boleh kata satu hari sampai empat, lima kali video call dengan suami, tanya macam mana keadaan dia, itu saja yang saya mampu buat sebab dalam tiga hari ke empat hari masa tu dia sendirian di rumah.
"Kalau ada saudara mara di sini saya okey lagi, tapi kita sendiri, merantau, keluarga suami pun di Selangor, saya di Johor," katanya.
Sutinah berkata dugaannya makin berganda selepas anak sulungnya Mohd Suhaimi Fitri, 18 tahun, yang sebelum itu menjaga suaminya di rumah turut disahkan positif COVID-19 dan terpaksa dihantar ke PKRC Chendering.
Ibu kepada empat cahaya mata itu bersyukur kerana kesemua empat keputusan ujian calitan yang dilakukan ke atasnya negatif meskipun anak dan suaminya telah disahkan menghidap virus tersebut.
Sementara itu, Mohd Zaid berkata orang ramai perlu mematuhi SOP yang telah digariskan bagi mengelak diri daripada dijangkiti virus berkenaan kerana ia amat memeritkan.
"Kita kena sama-sama jaga SOP yang ada. Macam saya, jaga SOP pun boleh kena apatah lagi yang tak nak ikut SOP," katanya.
Menurutnya, orang ramai juga seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menyahut saranan kerajaan supaya mendaftar dan mengambil suntikan vaksin dengan segera bagi melindungi diri serta keluarga.
Kini kehidupan mereka sekeluarga kembali bersinar selepas suaminya semakin pulih dan keempat-empat anaknya itu sihat dan dibenarkan pulang pada 19 Mei lalu.