'Berkhatan sebab nak jadi orang besar'
Mohd Zalani Md Atan
Disember 8, 2019 19:43 MYT
Disember 8, 2019 19:43 MYT
"Saya suka sunat sebab nak jadi orang besar."
Itu kata-kata adik Amar Irfan Abdullah, 7 tahun, anak Orang Asli suku Jakun dari Kampung Sungai Mas, Sungai Lembing, Kuantan, ketika hendak dikhatankan di Hospital Pakar KPJ Pahang, Tanjung Lumpur Kuantan, pada pagi Ahad.
Menurut Amar, jika tidak bersunat, dia tidak boleh menjadi orang dewasa. Ditanya samada ada perasaan takut ketika hendak bersunat, jawapnya mudah, "Tidak."
Bagi adik Harith Daris Mohd Musaimi, 8 tahun pula, ketika ditemui berkata proses berkhatan itu tidak sakit, hanya sekadar terkena gigitan semut.
Menurut Harith, pada mulanya dia berasa takut untuk bersunat kerana dikatakan seperti 'kena gigit harimau', namun selepas melaluinya sendiri, ternyata sangkaan itu tidak benar.
Bahkan, Harith tersenyum saat didekati petugas media dan tidak lokek berkomunikasi ketika dia dikhatankan oleh Pakar Bedah Am, Dr Huzaimi Yaakob.
Bapa Harith, Mohd Musaimi Ismail ketika ditemui berkata, pengalamannya membawa anak kedua dari tiga beradik itu untuk berkhatan, tidak sesukar ketika dia membawa anak sulungnya beberapa tahun lalu.
Katanya, tidak sukar untuk memujuk anaknya itu untuk berkhatan.
"Dulu saya rasa (sebab) orang sekeliling takut-takutkan (anak saya), tetapi sekarang ni macam dah tak ada benda-benda seperti itu.
"Jadi budak-budak sekarang pun, saya rasa, dah biasa. Ada perasaan tu, tapi cuma sedikit," katanya.
Bagi Pembantu Penggerak Masyarakat, Katilah Kassim, sambutan berkhatan dari ibu bapa masyarakat Jakun Sungai Mas di Sungai Lembing amat menggalakan dan sentiasa mendapat kerjasama baik.
"Setakat ni mereka orang semua berkerjasama dan beri galakkan," katanya.
Pada program 'Moh Berkhatan Wei' ini, seramai 120 orang kanak-kanak dipilih daripada keluarga kurang berkemampuan, anak-anak Orang Asli, anak-anak gelandangan dan pelajar KAFA (Kelas Agama dan Fardhu Ain) di sekitar Kuantan berusia 7 hingga 12 tahun.
Hospital Pakar KPJ Pahang dan Yayasan Pahang memperuntukkan lebih RM18,000 tajaan bagi menjayakan program berkhatan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bukit Ubi.
Ini merupakan program kali ke tiga yang dianjurkan oleh KPJ Pahang dan pertama kali mendapat kerjasama daripada Yayasan Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
#Amar Irfan Abdullah
#Hospital Pakar KPJ Pahang
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM Bukit Ubi
#Kampung Sungai Mas
#Moh Berkhatan Wei