Berkelakuan tidak senonoh, warga asing didenda RM5,000
Bernama
Oktober 7, 2024 17:57 MYT
Oktober 7, 2024 17:57 MYT
KOTA TINGGI: Dua lelaki warga asing masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024.
Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu ke atas warga Taiwan Arthur Wang, 66, dan rakyat India Prasad Papoli, 70, selain memerintahkan kedua-dua mereka dikenakan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mereka didakwa melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan berpakaian mencolok mata antara 4 hingga 6 petang pada 4 Okt.
Wang didakwa melakukan perbuatan itu di jalan utama Jalan Desaru manakala Prasad pula di pekarangan Lotus Desaru Hotel di Pengerang di sini.
Pendakwaan mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Ab Latif memohon mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberikan pengajaran bukan sahaja kepada kedua-dua tertuduh malah kepada warga asing dan rakyat tempatan supaya berpakaian sopan serta mengikut adat budaya negara yang dilawati.
Mereka yang tidak diwakili peguam itu bagaimanapun merayu hukuman denda yang rendah.
Wang memberikan alasan tidak memahami budaya negara ini dan memaklumkan dia memakai pakaian orang asli di 'Orchid Island' di Taiwan itu bertujuan mempromosikan budaya itu.
"Saya minta maaf kepada kerajaan serta rakyat Malaysia atas kesalahan ini hingga menyinggung perasaan rakyat di negara ini dan berjanji tidak akan ulangi perbuatan itu," kata pesara yang juga seorang aktivis.
Sementara itu, Prasad merayu hukuman yang rendah kerana dia sudah berusia 70 tahun dan datang ke sini bertujuan mengikuti program amal bagi membantu golongan susah.
Semalam, media melaporkan polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan berhubung insiden berkelakuan tidak senonoh dan lucah semasa program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.
Ekoran penahanan itu polis turut merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai ketika acara larian terbabit.
-- BERNAMA
#berkelakuan tidak senonoh
#warga asing
#Larian Antarabangsa Pan Asia 2024
#Arthur Wang
#Prasad Papoli