Berkelakuan tidak senonoh, wanita gelandangan Rusia ditahan di Shah Alam

Umavathi Ramayah
Oktober 11, 2024 18:15 MYT
Wanita itu dikesan berada dalam keadaan mabuk dan telah bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang wanita gelandangan warga Rusia ditahan polis selepas berkelakuan tidak senonoh serta menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana Seksyen U13, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 4.50 petang mengenai seorang wanita warga asing yang menghalang lalu lintas.
Ekoran itu kata beliau, anggota unit kereta peronda telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.
"Semasa polis sampai di lokasi kejadian, perempuan tersebut bersama seekor anjing miliknya bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan.
"Pemeriksaan lanjut ke atas perempuan tersebut mendapati dia tiada pengenalan diri yang sah tinggal di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Mohd Iqbal berkata, wanita itu kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, manakala anjingnya diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Beliau memberitahu, wanita berusia 32 tahun itu dipercayai hidup gelandangan dan tiada sebarang rekod jenayah.
Menurutnya, wanita itu datang ke Malaysia sejak empat tahun yang lalu untuk melancong dan gagal untuk pulang ke negara asal kerana pandemik COVID-19 serta tidak mempunyai simpanan wang secukupnya untuk pulang.
Mohd Iqbal berkata, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati wanita itu positif dadah.
Kata beliau, wanita itu kini ditahan reman 14 hari sehingga 22 Oktober ini.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mohammad Shamsul Md Salleh di talian 017-5453234.
#wanita Rusia #gelandangan #Malaysia #video tular
;