Berjaya bina lebih 50,000 rumah mampu milik, Perak tetap sasaran baharu

Abd Razak Mohd Ali
Mei 6, 2023 13:53 MYT
Saarani (dua,kanan) ditemui selepas majlis pelancaran jualan rumah teres setingkat Carnelian 2 dan rumah terbuka MK Land di Meru Raya, Ipoh pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
IPOH: Selepas berjaya melebihi sasaran membina 50,000 buah rumah mampu milik menjelang 2025, Perak akan menetapkan sasaran baharu, sesuai dengan keperluan akan datang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini, pasukan petugas khas yang dibentuk sedang mengkaji keperluan tersebut.
Menurutnya, setakat ini, kejayaan membina lebih 53,000 buah rumah mampu milik itu adalah perancangan yang dibuat untuk keperluan sehingga tahun 2025.
“Kita tak boleh berhenti setakat itu sahaja, walaupun kata dah lebih ini.. lebih ni berasaskan kepada unjuran dahulu.
“Buat masa seterusnya, orang semakin bertambah dan saya yakin kalau seperti mana saya katakan tadi, kita akan jadikan negeri ini sebagai negeri perindustrian, ramai penduduk akan bertambah dan mereka memerlukan rumah.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jualan rumah teres setingkat ‘Carnelian 2’ dan rumah terbuka MK Land di Meru Raya, Ipoh pada Sabtu.
Hadir sama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mk Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya.
Terdahulu, dalam program berasingan pada Jumaat malam, Saarani berkata, kerajaan negeri Perak akan membangunkan lebih banyak kawasan perindustrian baharu untuk menarik lebih ramai pelabur membuka perusahaan mereka di negeri ini.
Menurutnya, ia sekali gus bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.
Katanya, antara kawasan perindustrian itu ialah di Tanjung Malim, Simpang Pulai, Chemor, Kanthan, Bagai Serai, Parit Buntar dan Manjung.
Sementara itu, Faris berkata, nilai pembangunan kasar bagi tiga projek utama yang dibangunkan MK Land Ipoh telah mencecah hampir RM1 bilion.
Menurutnya, tiga projek itu ialah Meru Perdana, Meru Perdana 2 dan Klebang Putra.
#rumah mampu milik #Saarani Mohamad #Menteri Besar Perak #Kerajaan Negeri Perak
;