Beritahu saya jika projek tidak patuhi spesifikasi - Timbalan Premier Sarawak

Bernama
April 16, 2022 17:43 MYT
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahukan pemimpin akar umbi memaklumkan kepadanya jika terdapat projek untuk rakyat telah dibuat tidak mengikut spesifikasinya.
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahukan pemimpin akar umbi memaklumkan kepadanya jika terdapat projek untuk rakyat telah dibuat tidak mengikut spesifikasinya.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemimpin terutamanya pada akar umbi seharusnya menjadi mata, suara dan telinga kerajaan.
Beliau berkata, mana-mana projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar, Projek Kecil Luar Bandar ataupun daripada kerajaan pusat, mesti memenuhi spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR).
"(Projek seperti) pembinaan jambatan, jalan raya dan lain-lain yang diluluskan untuk dilaksanakan, ia perlu memenuhi spesifikasi JKR dari seri penggunaan bahan, kualiti, kuantiti, saiz atau panjang dan lain-lain.
"Semua ini dijelaskan dalam Jadual Bahan kepada kontraktor. Jadi, isu sama ada ia disiapkan tidak mengikuti spesifikasi tidak sepatutnya timbul," katanya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata adalah suatu yang menyedihkan jika sesuatu projek itu tidak disiapkan dengan betul, walaupun peruntukan telah pun diberikan untuknya.
"Projek-projek itu sepatutnya untuk dimanfaatkan oleh rakyat. Ia tidak sepatutnya menjadi punca perdebatan dan rasa tidak puas hati antara mereka dan kerajaan," katanya. - BERNAMA
#projek untuk rakyat #Projek Transformasi Luar Bandar #Douglas Uggah Embas #Timbalan Premier Sarawak
;