Berita tular Ustaz Kazim ditahan di hospital adalah palsu
Sahlizah Mohamed
Mac 3, 2020 09:34 MYT
Mac 3, 2020 09:34 MYT
SEBUAH status yang tular mengaitkan tahap kesihatan penceramah bebas Datuk Kazim Elias atau Ustaz Kazim (DUKE) ditahan di hospital adalah tidak benar.
Pihak pengurusan DUKE dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI menafikan berita yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp itu yang merupakan sebuah hantaran lama.
“Post tersebut merupakan post lama yang dimuat naik semula oleh pihak yang belum dapat dikenal pasti.
“Sehubungan dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa kesihatan DUKE berada dalam keadaan baik.
“Sama-sama kita mendoakan agar kesihatan DUKE dan kita semua terus kekal dalam keadaan baik,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Terdahulu, beberapa portal bertindak memuat naik gambar DUKE di sebuah hospital sebelum ia viral.
Gambar berkenaan difahamkan dirakam sekitar tahun 2016 semasa Ustaz Kazim dimasukkan ke sebuah hospital akibat masalah jantung.