Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mac 15, 2025 23:59 MYT
Mac 15, 2025 23:59 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 15 Mac 2025.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 15 Mac 2025.
Sebanyak 17 lokasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dikenal pasti di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi memantau pemanduan pengguna sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Polis menahan 13 pekerja kilang warga Nepal kerana cuba mencetuskan rusuhan selepas seorang rakan mereka maut dalam kemalangan langgar lari di Batu 8, Jalan Changkat Jong, pada Jumaat malam.
Polis sedang menyiasat aduan mengenai tindakan sekumpulan lelaki mengeluarkan 28 kereta yang masih menunggu keputusan mahkamah berkaitan tuntutan insurans di sebuah tempat letak kereta di Kota Bayu Emas, Pendamar, Klang pada 12 tengah hari, Jumaat.
Lelaki yang ditahan selepas memukul seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, semalam, direman selama sehari, pada Sabtu.
Malaysia terus komited dalam memerangi Islamofobia serta semua bentuk keganasan dan kebencian terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan.
Biarpun hanya akan beroperasi secara rasmi 22 Mac depan namun Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Plaza Tol Gombak mula menerima penumpang dari Pantai Timur.
Usaha kerajaan untuk memartabatkan dan melindungi kepentingan masyarakat Melayu dan bumiputera tidak boleh diperkecilkan.
Labuan, hab perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia bakal melalui transformasi penting dengan cadangan Projek Pembangunan Waterfront (Fasa 1) bernilai RM38 juta untuk menjana manfaat ekonomi dan meningkatkan daya tarikan pelancong.
Polis mengesahkan kejadian seorang wanita dipercayai terjatuh daripada jejambat berhampiran i-City di Kilometer 6.5 Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam menghala ke Klang petang tadi.
Pakar pengurusan jenayah ekonomi Raymon Ram dipilih sebagai Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) yang baharu bagi penggal 2025-2027 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-27 di Petaling Jaya.