Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 7, 2025 23:57 MYT
Januari 7, 2025 23:57 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 7 Januari 2025.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak dapat dilaksanakan segera kerana katanya, isu itu pernah disuarakan di Parlimen pada Mac tahun lalu namun tidak menerima sebarang jawapan.
Penghibur popular tanah air, Datuk Jamal Abdillah, 66, menyambut kehadiran cahaya mata ketujuh pada 9.38 pagi tadi. Raja Pop itu dikurniakan bayi perempuan seberat 2.94 kilogram.
Kesatuan Olahraga Malaysia hari ini mengesahkan rekod 100m dengan catatan masa 11.49s yang dicipta ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, diiktiraf oleh World Athletics.
Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah satu inisiatif unik yang melibatkan dua negara bekerjasama untuk menggalakkan pelaburan dan kestabilan.
Malaysia dan Singapura telah menyambung semula perbincangan mengenai isu dua hala yang berlarutan sekian lama, termasuk isu sempadan maritim, ruang udara dan bekalan air.
Kementerian Luar hari ini mengesahkan, setakat ini tiada laporan tentang rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi berukuran 6.5 magnitud yang melanda kawasan kira-kira 84km dari Lobuche, Nepal pada pagi Selasa.
Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tuduhan dia menjadi dalang yang telah membubarkan pasukan petugas yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Julai 2015 adalah tidak berasas sama sekali, dan sengaja dibuat untuk menyalahkannya secara tidak adil.
Hari pertama saingan Petronas Terbuka Malaysia diselubungi situasi di luar jangkaan apabila bumbung Axiata Arena dipercayai bocor dan terpaksa menghentikan seketika perlawanan badminton.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku khususnya membabitkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan.
Tourism Malaysia optimis kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) mampu mencapai sasaran kedatangan lebih 35.6 juta pelancong tahun depan sekali gus merancakkan sektor pelancongan negara.