Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
November 18, 2024 23:59 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 18 November 2024.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 18 November 2024.
1. Bung Moktar, isteri diperintah bela diri tiga tuduhan rasuah
Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
2. Melaka tarik semula gelaran 'Datuk' CEO GISB
Melaka menarik semula penganugerahan Pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk diberikan kepada Pengerusi GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, berkuat kuasa serta-merta.
3. Mengenang Tun Daim: 'Allahyarham tidak simpan dendam' - Keluarga
Bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dikenang sebagai seorang negarawan yang tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang menolak usahanya.
4. MCMC arah pengendali media sosial turunkan audio, video dakwaan rasuah ADUN
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengarahkan pengendali media sosial untuk menurunkan audio dan video berhubung dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan perolehan projek mineral di Sabah.
5. Amaran hujan tahap buruk di Johor, Pahang hingga 23 Nov
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Pahang dan Johor hingga 23 Nov ini.
6. RUU keselamatan dalam talian dibawa ke kabinet untuk pertimbangan
Draf Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan dibawa kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan, Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.
7. 'Adakah kita telah menjadi sebahagian daripada China?' – Dr Mahathir
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kekecewaan dan kebimbangannya terhadap penggunaan meluas tulisan Cina di sebuah kompleks beli-belah Kuala Lumpur, yang menurutnya memberi kesan kepada identiti kebangsaan.
8. Projek pembinaan MRT3 hanya akan bermula pada 2027 - CEO MRT
Pembinaan di tapak projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) hanya dijangka bermula pada 2027 iaitu setelah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyelesaikan proses pemerolehan tanah.
9. Vape perlu diharamkan secara total, titah Sultan Pahang
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah di negeri ini dan berharap semua pihak khususnya ibu bapa mengawasi anak mereka.
10. 'Bola sepak Malaysia tidak gagal, anda yang gagal' - TMJ
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap menguruskan sebuah kelab bola sepak bukan perkara yang susah jika pihak pengurusan bijak berbelanja.
#berita pilihan #tempatan #media sosial #Rasuah
;