Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 21, 2024 23:59 MYT
Oktober 21, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 21 Oktober 2024.
Situasi keselamatan perairan negara di Laut China Selatan adalah selamat dan terkawal, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan liputan mandatori untuk pekerja bukan warganegara sebagai usaha memastikan semua pekerja mendapat akses kepada perlindungan sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan sudah mengenal pasti nama empat individu didakwa mengurung anak bekas pemimpin al-Arqam, Ummu Atiyah Ashaari, 41, yang menjadi mangsa keganasan seorang pemimpin GISB Holdings Sdn Bhd.
Jumlah banduan ditempatkan di penjara di seluruh negara kini mencecah 87,000 orang iaitu melebihi kapasiti maksimum 74,000 tahanan.
Perikatan Nasional (PN) hari ini memberikan maklum balas positif terhadap beberapa inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.
Tiada layanan dua darjat terhadap penjawat awam yang tidak menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Agenda reformasi tatakelola pentadbiran selain hal berkaitan integriti dan antirasuah terus menjadi tekad serta keutamaan Kerajaan MADANI dalam merencana hala tuju negara yang lebih baik.
Pemilihan Bersatu Bahagian Jasin 'dibekukan' buat sementara waktu susulan penggantungan jawatankuasa bahagian tersebut baru-baru ini, kata Setiausaha Bersatu Melaka Azzaruddin Idris.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, tidak pernah mengendalikan sebarang akaun grup aplikasi WhatsApp.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kerajaan negeri sudah mengambil pendekatan terbaik dalam menyelesaikan isu 32 peniaga di Cameron Highlands dan ia perlu dipatuhi serta dihormati.