Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
September 29, 2024 23:59 MYT
September 29, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 29 September 2024.
Jasad mangsa banjir Salmah Mat Zain, 46 tahun, yang dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, di sini semalam, ditemukan di bawah timbunan kayu dan pelepah sawit hari ini.
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah agar rakyat sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh yang bakal melanda.
Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam jelas memberi isyarat bahawa politik sempit, retorik dan emosi tidak mendapat tempat dalam kalangan pengundi di Johor, menurut beberapa pemerhati politik.
Tiada ahli Pas Kelantan terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd atau Al-Arqam, kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Formula perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor wajar dipertahankan dalam siri pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menunaikan segala tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Individu disyaki berperanan sebagai pengendali aliran tunai dalam rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) bersama isterinya disambung reman lima hari bermula hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengadakan perjumpaan dengan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik melibatkan isu 1BestariNet.
Universiti Malaya (UM) hari ini mengesahkan kemasukan pelajar cemerlang berusia 12 tahun Izz Imil Sharom yang juga merupakan pelajar termuda universiti itu sejak penubuhannya pada 1962.
Terdapat sekelompok kecil penjawat awam yang masih ragu-ragu untuk menandatangani Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa 1 Dis ini.