Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
September 8, 2024 23:56 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 8 September 2024.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 8 September 2024.
1. Kadar tol mungkin boleh kurang jika kos pembangunan lebuh raya dikawal - PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, kadar tol mungkin boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal, selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.
2. Bapa calon BN PRK DUN Mahkota terpaksa ditidurkan
Bapa kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah terpaksa ditidurkan di sebuah hospital di Kluang.
3. Lompatan akhir Iakushev buat Latif Romly gigit jari, raih perak
Impian jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk melengkapkan hatrik emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) tidak kesampaian selepas membawa pulang pingat perak di Sukan Paralimpik Paris 2024.
4. Runtuhan tebing: Pihak pengurusan diminta buat kajian terperinci - JBPM
Hasil pemantauan pihak JBPM Selangor setakat pagi tadi mendapati masih berlaku rekahan berhampiran lokasi kejadian runtuhan tebing sungai.
5. PM Anwar ingatkan rakyat lebih celik kesihatan, kurangkan pengambilan gula
Perdana Menteri mengingatkan rakyat untuk mengambil serius berkenaan pengetahuan penjagaan kesihatan, terutama berkaitan keburukan pengambilan gula secara berlebihan.
6. Sijil halal: Polis buka kertas siasatan ke atas Teresa Kok - KPN
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyentuh isu agama.
7. Guru direman tujuh hari lakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelaki
Seorang guru di sebuah sekolah di sini direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 12 tahun sejak Mac hingga Ogos lepas.
8. Imigresen tumpas sindiket pengemis jalanan OKU, tahan enam warga China
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pengemis jalanan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penahanan enam warga China dalam Op Serkap di sini Khamis lepas.
9. Tiga isu jenayah diberi penekanan dalam Kod Tatalaku media sosial - Fahmi
Jenayah penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah pengantunan atau seksual terhadap kanak-kanak merupakan antara perkara yang diberi tumpuan dalam membangunkan Kod Tatalaku platform media sosial yang dijangka siap bulan depan.
10. Penjawat awam dipercayai dalang edar dadah antara 10 ditahan
Seorang penjawat awam adalah antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki dalang pengedaran dadah, yang melibatkan jumlah rampasan lebih RM2 juta dalam dua operasi berasingan, baru-baru ini.
#berita tempatan #berita dalam negara #berita hari ini #Berita AWANI
;