Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
September 4, 2024 23:59 MYT
September 4, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 4 September 2024.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 33 individu termasuk tiga doktor ortopedik di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai lebih RM2.1 juta sejak 2017.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan gas ammonia dengan bacaan kepekatan tinggi menerusi pemantauan kualiti udara yang dilakukan di Sungai Pandan, Kampung Melayu Pandan pada 4 petang Selasa.
Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang pada 22 September ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lagi doktor bagi membantu siasatan dakwaan pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang.
Pengadu dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa pendakwah tersebut telah mengarahkannya membuka semua pakaian dan berbogel.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 27 Sept sebagai tarikh satu lagi sesi pengurusan kes berhubung rayuan enam individu yang disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais sembilan tahun lepas.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan memastikan rantau ASEAN mempunyai kerjasama dan hubungan bilateral yang lebih baik dengan Rusia.
Selepas spekulasi sejak beberapa minggu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akhirnya mengesahkan bahawa beliau mengahwini seorang pegawai polis sebagai isteri kedua.
Malaysia bakal menyertai persidangan BRICS yang akan berlangsung di Kazan, Rusia, bermula 22 hingga 24 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.