Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Ogos 19, 2024 23:59 MYT
Ogos 19, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 19 Ogos 2024.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Istana Pahang membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung kenyataannya yang menyentuh isu agama, raja, dan kaum (3R) semasa kempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi,33.
Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin memerintahkan remaja berusia 17 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh Nuraina Humaira Rosli, 10.
Keluarga kepada guru wanita Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi,33, yang dipercayai dibunuh secara kejam oleh kenalan lelakinya menerima dengan baik keadaan jenazah yang diserahkan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka hari ini.
Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dalam usaha mengangkat darjat dan martabat Bumputera sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tidak berniat menghina institusi raja.
Pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya Faghirah Fatini Kazaruddin atau Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada Isnin.
Kerajaan Johor mengumumkan Hari Cuti Peristiwa pada 25 Ogos, sebagai tanda penghargaan kepada peminat kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) sempena final Piala FA 2024.
Sebuah syarikat rangkaian restoran nasi kandar yang terkenal terpaksa menanggung padah berjumlah ratusan ribuan ringgit gara-gara menyiarkan kandungan dan pengisian Astro secara haram.