Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Julai 15, 2024 23:59 MYT
Julai 15, 2024 23:59 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 15 Julai 2024.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 15 Julai 2024.
Pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 iaitu melibatkan status dan bidang kuasa di antara Mahkamah Syariah, harus dijadikan satu dokumen yang kukuh dan disepakati di antara negeri-negeri, mufti serta golongan ulama.
Ahli Parlimen pembangkang hari ini memasuki sidang Dewan Rakyat dengan memakai lilitan putih di bahagian lengan kiri masing-masing.
Seorang bekas pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila terlepas hukuman gantung atas kesalahan membunuh pegawai AmBank cawangan Subang Jaya, pada 2013.
Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim membuat kenyataan: "dia ini anti-Islam", yang dituju kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, melepaskan dan membebaskan (DNA) Pengasas Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart), Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, masing-masing atas satu pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, pada Mac lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun bank dengan nilai lebih RM740,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam melibatkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu.
Seramai 39,019 orang warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan automatik sebagai pemilih baharu dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2024 (DPT BLN5/2024) dalam tempoh 1 hingga 31 Mei lepas.
PEMAIN Mobile Legend Bang Bang (MLBB) yang mewakili Yoodo Selangor Red Giants (SRG), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahru atau lebih dikenali sebagai Sekyss berkongsi perancangannya selepas beliau dan pasukan menjadi juara dunia bagi kejohanan MLBB MSC 2024, malam tadi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau yang lebih berkesan, teratur dan sistematik amat perlu bagi mengangkat imej, reputasi dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pilihan.
Pertembungan pendapat antara Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda UMNO berhubung isu politik adalah perkara biasa selagi tidak terkeluar daripada asas kerjasama iaitu menjamin kestabilan dan meneruskan proses pemulihan negara sebagaimana terkandung dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.