Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Julai 5, 2024 23:58 MYT
Julai 5, 2024 23:58 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 5 Julai 2024.
Lebih 20 subkontraktor yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) menuntut rundingan penyelesaian bagi mengutip bayaran tertunggak berjumlah RM100 juta yang terhutang kepada mereka secara kolektif daripada Prolintas.
Lebih 25 tahun menjadi venue rasmi pasukan Selangor, Stadium Shah Alam telah menyimpan pelbagai kenangan dan nostalgia tersendiri kepada pemain serta peminat sukan di negeri ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan aktivis sosial Hishamuddin Md Rais di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 3.15 petang semalam, bagi membantu siasatan satu kes sedang dijalankan.
Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa Rabu lepas.
Kerajaan Sabah mewartakan pengisytiharan Hari Sabah pada 31 Ogos. Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong melalui warta itu memaklumkan warta itu dibuat pada 5 Jun dan diterbitkan pada 20 Jun lepas bagi makluman umum bahawa 31 Ogos diisytihar sebagai Hari Sabah.
Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menegaskan bahawa barang kemas, beg tangan dan aksesori mewah lain yang berada dalam milikannya bukan dibeli dengan wang hasil aktiviti haram.
Isu berhubung perjanjian penyelesaian di antara Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dengan Low Taek Jho atau Jho Low tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Jabatan Audit Negara bebas membawa kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LAN) 2/2024 untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Individu positif COVID-19 tidak lagi diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) atau arahan kuarantin di rumah berkuat kuasa 15 Julai ini.
Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 3.7 Jalan Machang-Tanah Merah.