Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mei 24, 2024 23:55 MYT
Mei 24, 2024 23:55 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 24 Mei 2024.
Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah semalam, dituduh lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas satu kes meminta suapan RM350,000 berhubung tender pembekalan alat baiki berjumlah RM381 juta, empat tahun lalu.
Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff disahkan meninggal dunia tengah hari Jumaat.
Gergasi sepak takraw dunia Thailand akhirnya mengakui Malaysia ketika ini lebih kuat berbanding skuad Gajah Perang, kata pengurus merangkap ketua jurulatih Thailand ke kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di sini, Supot Tumpracha.
Seiring kelantangan dan sokongan tanpa henti terhadap Palestin, Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggerakkan inisiatif melalui saluran khas, #Malaysia4Palestine.
Tahap keselamatan balai-balai terpencil akan dipertingkatkan, antaranya dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu pagar ditutup lebih awal, susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengakibatkan dua anggota terkorban.
Antara sumbangan pemikir serta tokoh filasuf (ahli falsafah) terkemuka Jepun Prof Toshihiko Izutsu yang luar biasa dan paling diingati ialah pencapaiannya menterjemah Al-Quran ke bahasa Jepun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan 'MIDF Investment' yang menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi Facebook dengan keuntungan dalam tempoh antara tiga hingga enam jam.
Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman merasakan dirinya semakin sihat sejak menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Saksi kesembilan kes gangguan seksual melibatkan Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa dia tidak pernah menggoda atau mempunyai sebarang hubungan dengan pendakwah tersebut.