Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
April 26, 2024 23:57 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 26 April 2024.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 26 April 2024.
1. Rumah terbuka Selangor di Kuala Kubu Bharu Sabtu ini langgar akta - Bersih
Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor yang akan dianjurkan di pekan Kuala Kubu Bharu Sabtu ini, boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, kata Bersih.
2. Pesawat ringan lakukan pendaratan cemas di LTSAAS
Sebuah pesawat ringan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah d Subang, dua minit selepas berlepas pagi tadi.
3. Tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 dilanjutkan ke 15 Mei
Tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 bagi individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan dilanjutkan daripada 30 April ini kepada 15 Mei depan.
4. Kontroversi UM: Sarjana ‘berkualiti rendah’ tak patut dijemput - PM Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyindir ahli akademik Amerika Syarikat (AS) yang terbabit dalam isu kontroversi pro-Israel sebagai sarjana berkualiti rendah dan tidak mempunyai pencapaian luar biasa atau istimewa.
5. Kontroversi UM: Mahasiswa protes, tuntut tindakan tegas pihak jemput profesor pro-Israel
Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) hari ini mengadakan perhimpunan membantah tindakan menjemput penceramah pro-Zionis memberi ceramah di institusi itu baru-baru ini.
6. Kes saman Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
Kes saman yang difailkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selesai secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
7. Tiada kasino akan beroperasi di Johor - Onn Hafiz
Kerajaan Negeri Johor menegaskan tidak akan ada mana-mana kasino beroperasi di negeri itu termasuk di Forest City, Johor Bahru.
8. PM Anwar pulangkan elaun Pengerusi Khazanah, tegaskan sekali lagi tidak terima gaji
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau memulangkan elaun sebagai pengerusi Khazanah Nasional Berhad yang diterimanya dan sekali lagi menegaskan tidak menerima gaji bagi jawatan Perdana Menteri yang disandangnya sejak November 2022.
9. 'Kementerian Kewangan tiada rekod surat kelulusan Najib bagi 1MDB ambil alih Tanjong Energy, Genting Sanyen' - Saksi
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Kementerian Kewangan tidak mempunyai pengetahuan mengenai dua surat kelulusan yang ditandatangani oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan, yang memberikan kelulusan kepada permohonan 1MDB untuk membuat pinjaman baharu berkaitan pengambilalihan Tanjong Energy dan Genting Sanyen.
10. Jangan pilih merengek, sebaliknya berunding bantu rakyat - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menempelak pendirian pemimpin yang memilih merengek dan mencaci usaha kerajaan membantu semua kaum, yang hanya merugikan rakyat.
#berita pilihan #pesawat ringan #rumah terbuka #tempatan
;