Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Februari 24, 2024 23:46 MYT
Februari 24, 2024 23:46 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 24 Februari 2024.
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta majlis itu bermesyuarat setiap minggu sehingga 20 Mac bagi mencari penyelesaian isu padi dan beras.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam terutamanya di negeri ini supaya tidak terlalu taksub dengan dakwaan seseorang itu kononnya daripada nasab Rasullullah SAW.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takyuddin Hassan mengesahkan pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pertemuan biasa dan tiada sebarang masalah antara kedua-dua parti itu.
Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia Datuk Ammar Abd Ghapar tidak dipecat sebaliknya diturunkan jawatan kepada Timbalan Pengarah, kata Menteri Pelancongan, Seni dan
Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Kerajaan menetapkan harga maksimum penerbangan sehala bagi kelas ekonomi sebanyak RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri ini.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) berpendapat bahawa takrifan kategori pendapatan sedia ada tidak menggambarkan realiti cabaran dan kekangan dihadapi oleh rakyat terutamanya mengikut keadaan ekonomi sekarang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu kejatuhan nilai ringgit sebagai senjata politik sehingga tidak bersandarkan kepada fakta.
Rafizi Ramli membidas kenyataan bekas Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa kerajaan gagal mengawal keadaan ekonomi negara sehingga menyusahkan rakyat.
Sebanyak 12 kawasan di empat negeri diramalkan mengalami suhu panas tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut mulai hari ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali menjelaskan bahawa bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.