Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Februari 20, 2024 23:54 MYT
Februari 20, 2024 23:54 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 20 Februari 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hari ini kerajaan kukuh mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.
Tun Dr Mahathir Mohamad kini masih dirawat di Institut Jantung Negara, kata jurucakap bekas perdana menteri itu yang menjelaskan, pada ketika ini, beliau masih menjalani proses pemulihan akibat jangkitan.
Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan hari ini tidak akan mengongkong dan menyekat kebebasan bersuara media, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) digodam seperti didakwa sebuah forum dalam talian.
Nombor plat kenderaan keluaran khas GOLD 1 menjadi milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan nilai bidaan tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM1.5 juta.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan rombakan terhadap Majlis Pimpinan Negeri di enam negeri berkuat kuasa serta-merta.
Prestasi ringgit ketika ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa hadapan, kata Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.
Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini gagal dalam permohonan untuk mengisytiharkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.
Orang ramai mula beratur di Zoo Melaka seawal 7 pagi selepas kerajaan negeri menawarkan kemasukan percuma ke destinasi pelancongan itu sempena cuti umum Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin sekarang diingatkan supaya tidak bersikap rakus, angkuh dan gelojoh sebagaimana pegawai-pegawai dari negara penjajah suatu masa dahulu.