Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Februari 8, 2024 23:59 MYT
Februari 8, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 8 Februari 2024.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan bekerja lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya.
Operasi mencari dan menyelamat tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor yang diteruskan pagi ini menemui mayat dua beradik mangsa terakhir.
Dunia bola sepak negara kehilangan permata berharga apabila jurulatih legenda Kedah, Azraai Khor Abdullah, dilaporkan meninggal dunia pada usia 71 tahun hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Padang Serai yang juga bekas Naib Presiden PKR, N Surendran, mengumumkan meninggalkan parti berkenaan pada Rabu.
Sebanyak RM29.03 bilion aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berjaya dipulangkan dari tahun 2019 sehingga kini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan permohonan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjara adalah sebagai menyantuni permintaan Najib dan keluarga.
Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis membenarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan semula pasportnya, sekali gus membolehkan bekas perdana menteri itu memulakan perjalanan untuk majlis perasmian restoran ke Bangkok, Thailand minggu depan.
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki daripada tuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, enam tahun lalu.
Pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersabar serta memahami kekangan dalam mengisytihar harta kepada agensi itu.