Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 26, 2024 23:57 MYT
Januari 26, 2024 23:57 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 26 Januari 2024.
Seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands pada Jumaat.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa hari ini.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam berbanding menghapuskan pencen mereka.
Ahli Parlimen Bukit Gantang mendakwa 10 orang lagi Ahli Parlimen, khususnya dari Bersatu akan melontarkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara prinsipnya beliau sudah bersetuju dengan apa saja keputusan untuk penjawat awam turut terpakai kepada ahli politik.
Peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tidak lagi mewakili bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Pegawai penyiasat dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Najib tidak pernah membuat sebarang aduan kepada pihak berkuasa walaupun dana 1MDB dilencongkan sejak 2009.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan setiap mesyuarat berkala berkaitan persediaan rapi Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2025 dalam mengangkat imej negara di persada dunia.
Malaysia Airlines menambah jadual penerbangannya dengan penambahan 124 penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih berikutan permintaan perjalanan yang meningkat semasa Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah akan datang bermula Februari hingga Mac 2024.
Zoo Negara akan menawarkan tiket masuk percuma kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersempena dengan sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60, esok.