Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 16, 2024 23:47 MYT
Januari 16, 2024 23:47 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 16 Januari 2024.
Perdana Menteri menempelak kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak sepenuhnya setia kepada negara.
Malaysia bermula dengan langkah sumbang pada penampilan pertama di pentas Piala Asia selepas 17 tahun, apabila tumbang 0-4 kepada Jordan, dengan bekas bintang Kedah Darul Aman FC Mahmoud Almardi muncul wira The Chivalrous Ones, dalam aksi Kumpulan E di sini, malam tadi (awal pagi ini waktu Malaysia).
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menolak cadangan untuk mewujudkan Akta Parlimen Berpenggal jika ia dibuat kerana bimbang kerajaan akan tumbang.
Pemimpin kerajaan akan memberi tumpuan kepada hala tuju menggerakkan dasar negara dalam Program Pemukiman anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang dijadual bermula esok, kata Perdana Menteri.
Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan kekal sehingga tamat penggal Parlimen bukan menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini.
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) akan menawarkan perkhidmatan feri percuma bermula 12.01 tengah malam 24 Jan hingga 2 pagi 26 Jan bagi memudahkan perjalanan penganut agama Hindu ketika meraikan sambutan perayaan Thaipusam.
Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan terhadap kes sepasang kekasih terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada malam Isnin.
Malaysia mengulangi pendiriannya untuk mendukung langkah Afrika Selatan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) bersama negara sahabat yang lain dalam menegakkan keadilan dan membenam kezaliman Israel di Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merangka tiga strategi utama di bawah Sektor Operasi dan Pencegahan dalam usaha memerangi rasuah membabitkan perolehan awam, penguat kuasa undang-undang dan grand corruption untuk tahun ini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu agensi tunggal yang mengawal selia sempadan negara iaitu Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA) dapat beroperasi dengan segera demi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.