Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 29, 2023 23:56 MYT
November 29, 2023 23:56 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 29 November 2023.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang mengesahkan tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut, manakala dua parah dan empat lagi masih terperangkap dalam kejadian runtuhan gudang logistik yang masih dalam pembinaan di Batu Maung, di sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, beliau adalah bukti hidup DAP bukanlah sebuah parti rasis dan anti-Islam, seperti didakwa pembangkang.
Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menolak permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal kerana mahu bercuti di United Kingdom.
Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang terbabit kontroversi video tular dengan bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Agus Yusoff mengesahkan 'Mr H' yang mengarahnya merakam video adalah individu sama dipanggil polis.
Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.
Remaja lelaki berusia 13 tahun yang direman pada Selasa kerana mengacu pisau di dada pemandu kenderaan e-hailing di tepi jalan di Taman Keladi, di sini, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Tiga pemimpin DAP memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad berhubung ucapan beliau dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman, awal bulan ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kerana mampu mempertahan integriti yang sangat tinggi sejak dahulu hingga kini.
Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999 (Akta 597) mengukuhkan fungsi suruhanjaya itu dalam hal berkaitan hak kanak-kanak menerusi peruntukan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua Pesuruhjaya Kanak-Kanak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang belum dapat ditentukan, kerana Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin belum lagi berbincang dengannya.