Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 26, 2023 23:46 MYT
Oktober 26, 2023 23:46 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 26 Oktober 2023.
Ahmad Fadhli Shaari (PN - Pasir Mas) membangkitkan di Dewan Rakyat isu PM terima ugutan susulan kelantangan menyuarakan isu Palestin, bertanya negara mana yang berani melakukan ugutan sebegitu.
Pengguna komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang akan dapat menikmati mod pembayaran terbuka mulai pertengahan November tahun ini, termasuk penggunaan kad kredit, kad debit, Touch-n-Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS), menurut Anthony Loke.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan pihaknya akan memanggil Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pada 2 November ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan 375 projek pembinaan semula bangunan sekolah daif berskala enam dan tujuh di Sarawak dari tahun 2016 hingga 2023.
Malaysia mengambil pendirian tunggu dan lihat mengenai keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung penghantaran tentera pengaman ke Palestin, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah membuka siasatan terhadap MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober 2023, berikutan pengumuman penangguhan operasi syarikat penerbangan tersebut pada 12 Oktober 2023.
Kadar Elaun Sara Hidup (ESH) bagi pelajar baharu dan sedia ada di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan dinaikkan bermula tahun depan, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
Anggota kumpulan Indigo, Bad, atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah meninggal dunia pada kira-kira jam 7 malam di tempat kerjanya di Ampang, Selangor.
Penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan digalakkan menerokai kaedah baharu yang boleh meningkatkan keberkesanan pemulihan termasuk penggunaan aplikasi telefon pintar.