Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Julai 10, 2023 23:54 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 10 Julai 2023.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 10 Julai 2023.
1. Muhyiddin Yassin mula ternak ayam...
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai salah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.
2. Wanita Malaysia muncul sebagai wanita Islam pertama dapat pengiktirafan Royal Crown Diamond
Seorang usahawan wanita, Norhidawati Abdul Aziz mengharumkan nama Malaysia apabila mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi penganugerahan Royal Crown Diamond oleh syarikat peneraju dalam minyak pati dan penyelesaian kesejahteraan antarabangsa, Young Living.
3. PRN: Nama Annuar Musa, Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura
Bekas Setiausaha Agung UMNO yang baru menyertai Pas, Tan Sri Annuar Musa dan anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz merupakan antara individu yang telah melepasi proses tapisan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
4. Hajiji bertemu Anwar di Putrajaya, bincang hal pembangunan Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra Putrajaya pada Isnin.
5. KDN, AADK diberi tempoh tiga bulan koordinasi usaha bendung dadah
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diberi tempoh tiga bulan untuk mengkoordinasi usaha bagi merangka inisiatif atau program efektif untuk membendung masalah dadah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
6. KKM batal notifikasi dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual
Notifikasi produk kosmetik Airee Beautycare Night Cream dan BL Ledehh Day Cream 1 telah dibatalkan kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
7. Tun M sambut ulang tahun ke-98
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-98.
8. Pemenang Anugerah Kajai, Ibu Yati meninggal dunia
Bekas wartawan yang juga pemenang Anugerah Kajai 2014, Wan Noor Hayati Wan Alias meninggal dunia pada petang Isnin dipercayai akibat penyakit radang paru-paru.
9. Sekularisme sepenuhnya tidak diterima di Malaysia - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekularisme yang mengetepikan dan mengasingkan antara agama dan kerajaan sepenuhnya tidak dapat diterima di Malaysia.
10. PRN: BN, PH jelajah lima negeri, lancar jentera 15 Julai di Kedah
Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan Program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan bermula 15 Julai depan di Kedah.
#berita tempatan' #berita dalam negara #berita hari ini #Berita AWANI
;