Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Jun 18, 2023 23:52 MYT
Jun 18, 2023 23:52 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 18 Jun 2023.
Kementerian Luar mengesahkan tidak akan menghantar wakil bagi menghadiri perbincangan tidak rasmi hari ini untuk 'libat urus semula' dengan Myanmar, seperti dicadangkan kerajaan sementara Thailand.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sekali lagi menyeru agar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang menjadi sebahagian daripada Kedah Aerotropolis diberi layanan dan perhatian yang adil dan sewajarnya.
Semua pihak tidak boleh menafikan bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan krisis sistem pendidikan negara, kata Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr Anuar Ahmad.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah bahawa amat tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutama melibatkan sejarah dan kedaulatan Negeri Kedah.
Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, mengesahkan dirinya tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan ditahan bagi membantu siasatan memuat naik kandungan di media sosial berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penganugerahan pingat kepada Tan Sri Lim Kit Siang.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini menafikan beliau sebagai salah seorang daripada 10 'warlord' UMNO yang didakwa akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta untuk mengatasi masalah air bersih di Kelantan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan melibatkan seorang pegawai polis wanita kerana mencetuskan kekecohan di parkir sebuah pusat beli-belah di Brickfields
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun ini, menurut Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Datuk Mohd Aseral Jusman.