Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mei 10, 2023 23:59 MYT
Mei 10, 2023 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 10 Mei 2023.
Seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu sebuah kereta lebih kurang 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan hingga berlaku kebocoran data hampir 12,000 pemohon universiti tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta orang ramai yang menggunakan bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) supaya lebih bertanggungjawab.
Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara Jun dan Julai 2021.
Pihak pendakwaan telah menyerahkan laporan forensik perbualan di aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan dalam kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Selepas hampir 10 bulan, seorang gadis bawah umur yang dilarikan kekasihnya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah stor besi buruk di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Banting, pada Isnin.
Seorang bekas operator kren dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini kerana merogol dua anak perempuannya yang di bawah umur.
Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh setahun, berkuat kuasa 12 Mei ini.
Kementerian Pertahanan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja dalam kes pegawai TUDM didakwa membuli lima pelatih pasukan itu, jika terbukti bersalah.
Barisan Nasional (BN) sedang mempertimbangkan hasrat parti bersekutu dalam kerajaan Perpaduan untuk menggunakan logo dacing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.