Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Februari 22, 2023 23:59 MYT
Februari 22, 2023 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 22 Februari 2023.
Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk segera memuktamadkan rundingan bagi menginstitusikan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia, yang akan menjadi platform utama kerjasama dua hala pada masa hadapan, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemaju projek yang dikenal pasti menjadi punca kerosakan struktur di stesen LRT Bandaraya.
Ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad yang didakwa semalam atas dua pertuduhan rasuah, hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Datuk Wan Saiful Wan Jan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu selepas berdepan pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa.
Seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, pada Rabu, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, beliau tidak pernah mengarahkan Rafiq Hakim Razali dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi membuat pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pusat.
Enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa kejadian remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella disuruh makan cili dan najis selain diikat, disimbah air panas serta ditekap dengan kuali panas tidak pernah berlaku.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan dua lelaki dipercayai membawa daun ketum selepas cubaan melarikan diri dengan sebuah pacuan empat roda di kawasan Durian Burung, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.