Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 20, 2023 23:59 MYT
Januari 20, 2023 23:59 MYT
Berikut antara berita paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 20 Januari 2023.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 20 Januari 2023.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan tiada unsur pemerdagangan manusia terhadap seorang kanak-kanak warga asing yang ditemui dalam kontena di kawasan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, pada Selasa.
Pelaksanaan Op Selamat pada musim perayaan bukan untuk mengganggu pengguna jalan raya tetapi bagi melancarkan lalu lintas dan mengurangkan kes kemalangan, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim.
Seorang jurutera sebuah kilang kerugian lebih RM2.9 juta selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kegiatan jenayah dalam kejadian di George Town, dekat sini, baru-baru ini.
Seorang ibu muda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berumur setahun enam bulan di Cyberjaya, minggu lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan dibuat atas pertimbangan bahawa bonus penjawat awam adalah tidak tinggi dan tidak wajar dikenakan cukai.
Seorang warga emas maut selepas dipercayai disamun oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pulai Darat, di sini awal pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ucapannya semasa ceramah 'Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai' pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berunsur fitnah.
Pewartaan istilah wilayah bagi Sabah dan Sarawak akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan pandangan sewajarnya sebelum ia dikemukakan kepada jemaah menteri dan Kabinet.
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan dilaksanakan mulai 30 Jan hingga 15 Mac depan melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis.
Anak Perdana Menteri, Nurul Ilham Anwar pada Jumaat mendakwa beliau telah menjadi mangsa buli pengguna jalan raya.