Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 29, 2022 23:36 MYT
Oktober 29, 2022 23:36 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 29 Oktober 2022.
Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup merendahkan diri dan melupakan perbuatan 'khianat' Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya bagi membolehkan GTA dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
PKR mengumumkan seramai lapan calon daripada parti itu, diketuai Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertanding di lapan kerusi Parlimen di Perak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kemelut dalaman Parti Bangsa Malaysia (PBM) dilihat semakin meruncing dengan tindakan terbaru Presidennya Datuk Larry Sng Wei Shien menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi berkuat kuasa serta-merta termasuk Datuk Zuraida Kamaruddin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan negeri Pahang sebagai benteng akhir Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November depan.
Ketua Amanah Kawasan Kota Bharu, Datuk Husam Musa diumumkan akan bertanding mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menganggap pemilihan calon yang tidak mengambil kira sentimen penyokong akan merugikan parti yang bertanding.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau terbuka untuk berdepan sesiapa sahaja di kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, adalah tidak adil untuk beliau menentukan siapa yang bakal menggantikannya.
Berbaki enam hari sebelum proses penamanaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), timbul pelbagai spekulasi termasuk ada pemimpin yang dikatakan bakal meninggalkan parti susulan tidak dinamakan sebagai calon.
Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah akan mengumumkan keputusannya sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau sebaliknya, pada hari Rabu ini (2 November).