Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 13, 2022 23:59 MYT
Oktober 13, 2022 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 13 Oktober 2022.
Kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Prolintas dan Kumpulan IJM Corporation Bhd dan mengurangkan kadar tol di enam lebuh raya bermula tengah malam ini dan 1 Januari 2023.
Dakwaan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilakukan demi membebaskan pihak tertentu daripada pertuduhan mahkamah adalah tidak benar sama sekali.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya menyalahkan tindakan 12 menteri Kabinet yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang dikatakan mencetuskan keputusan membubarkan Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia iaitu Stesen Janakuasa Battersea di Central London, menjelang pelancarannya kepada umum Jumaat ini.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia mempertimbangkan mengenai kerjasama politik dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menentang UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, awal bulan ini.
Selepas lama berteka-teki mengenai hubungan dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada Khamis, akhirnya memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan bersetuju untuk menyahklafikasikan dan mendedahkan laporan yang dikemukakan pasukan petugas khas buku "My Story: Justice In The Wilderness" kepada umum.
Kerajaan bersetuju untuk meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Meskipun dikritik banyak pihak kerana masih mahu mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ketika berusia 97 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap bertegas dengan pendirian itu.