Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mac 31, 2021 23:34 MYT
Mac 31, 2021 23:34 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 31 Mac 2021.
Kesemua menteri daripada parti UMNO bersepakat untuk terus kekal dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Selasa akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Inflasi keseluruhan negara dijangka meningkat secara sementara melepasi paras 5.0 peratus pada suku kedua tahun ini disebabkan kesan asas yang rendah berikutan penyusutan harga bahan bakar pada suku yang sama tahun 2020.
Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus pada 2021 berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020, disokong oleh faktor-faktor domestik seperti penggunaan dan persekitaran luaran yang lebih baik berikutan pelancaran program vaksinasi.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta pemilik syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh akan memeriksa 11,991 unit barang kemas yang kini disimpan dalam lebih 90 buah kotak di dalam bilik kebal di Bank Negara Malaysia (BNM).
Pemilihan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh membawa keretakan dan memecah-belahkan parti selain membolehkan calon yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain, kata Ketua Bahagian UMNO Pekan Datuk Seri Najib Razak.
UMNO kini dilihat umpama 'harimau kertas' selepas 'mengaum' di Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menegaskan akan terus memberi fokus kepada tugasnya dalam kerajaan selagi UMNO belum membuat apa-apa keputusan berhubung peletakan jawatan menteri daripada parti berkenaan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bersatu Johor setakat ini tidak berhasrat untuk menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dari parti UMNO.
Harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter manakala harga runcit RON95 dan diesel kekal, masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh 1 hingga 7 April.
#berita pilihan
#UMNO
#Bersatu
#Muhyiddin Yassin
#najib
#Rosmah
#diesel
#RON95
#Prebet Adam
#Menteri UMNO