Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Januari 29, 2021 23:30 MYT
Aantara pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat 29 Januari 2021.
1) COVID-19: 5,725 kes baharu, jumlah kes di Malaysia lepasi angka 200,000
Sebanyak 5,725 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan ia jumlah kes baharu tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.
Dengan jumlah itu juga menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 melepasi angka 200,000 dengan 203,933 kes dengan jumlah kes aktif sebanyak 45,478.
2) Skor CPI: Komitmen kerajaan memerangi rasuah jelas, berterusan - Pejabat Perdana Menteri
Kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang).
Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri menegaskan, meskipun kedudukan negara jatuh dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 namun dasar dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan tadbir urus adalah jelas dan berterusan.
3) 'Kasihan rakyat tak dapat air bersih' - Bung Moktar
Pihak berkuasa tempatan di Sabah digesa lebih proaktif dalam menangani isu melibatkan masalah jalan raya dan bekalan air di negeri itu.
Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, terdapat beberapa konsesi yang bertanggungjawab menyelenggara jalan-jalan raya di beberapa kampung dan kawasan perumahan di negeri itu yang tidak menjalankan amanah yang diberikan.
4) Hadi Awang mohon batal saman berhubung kenyataan menghasut
Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon untuk membatalkan saman pemula dua penganut Kristian dari Sabah yang dikemukakan terhadapnya berhubung kenyataan dikeluarkan Presiden PAS itu yang didakwa menghasut penganut agama berkenaan yang diterbitkan dalam sebuah akhbar, lima tahun lalu.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Abdul Hadi berkata mahkamah menetapkan 19 April ini untuk keputusan permohonan tersebut.
5) Hanya 30.4 rakyat peratus Malaysia sertai Banci, didahului Putrajaya, Johor dan Perlis - Dr Uzir
Hanya 30.4 peratus atau 10 juta penduduk yang melengkapkan borang respons Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia 2020 atau Banci Malaysia 2020, menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Beliau, yang juga Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020 berkata, situasi itu sekaligus menunjukkan 22.7 juta penduduk, atau 69.4 peratus daripada 32.7 juta penduduk Malaysia, masih belum mengisi Banci Malaysia 2020.
6) Iris Corp raih kontrak sistem imigresen NIIS RM1.16 bilion
Iris Corporation Bhd hari ini mengumumkan telah meraih kontrak membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu National (NIIS) untuk Jabatan Imigresen Malaysia kerajaan bernilai RM1.159 bilion.
Menerusi satu makluman di Bursa Malaysia, syarikat teknologi itu memaklumkan bahawa anak syarikatnya Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) telah menerima Surat Tawaran Projek (LOA) bertarikh 29 Januari 2021 daripada Kementerian Dalam Negeri untuk membangun dan membekalkan sistem imigresen.
7) Annuar Musa nafi langgar SOP, hanya 'terserempak'
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan bahawa beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dipersoal orang ramai di media sosial.
Semalam, Annuar memuat naik sekeping gambar menerusi Twitter yang menunjukkan Ahli Parlimen Ketereh itu berjalan untuk tujuan bersenam bersama mantan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Dr Nordin Razak dan Datuk Nik Aminaldin Nik Jaafar.
8) COVID-19: 10 pelajar disahkan positif, 4 sekolah di Sandakan diarah tutup
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata ia melibatkan seorang guru di SM St Mary Sandakan, tujuh orang pelajar asrama, seorang pelajar luar dan dua orang guru di SMK Elopura Bestari, seorang guru dan seorang pelajar di SMK Batu Sapi, dan seorang pelajar di SMK Perempuan Sandakan.
9) Anonymous Malaysia dakwa pegawai kerajaan dalang kebocoran data peribadi
Kumpulan penggodam Anonymous Malaysia (Anonymous) muncul semula dengan mesej kedua, amaran yang ditujukan kepada Kerajaan dan rakyat Malaysia mengenai kebocoran data yang semakin berleluasa.
Mesej ini muncul tiga hari selepas Anonymous memuat naik mesej pertama berkaitan perkara yang sama.
10) PKP 2.0: Jangan terburu-buru baharui lesen memandu, kerajaan bagi pengecualian
Semua kenderaan persendirian sekali lagi diberi pengecualian untuk memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu kompeten (CDL) yang tamat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP), berkuat kuasa 1 Februari hingga 31 Mac ini.
Pengecualian yang sama sebelum ini pernah diberikan ketika pelaksanaan PKP 1.0, bermula 25 Mac hingga 30 September lalu.
10 Berita Pilihan - (29 Januari 2021)
#berita pilihan #berita tempatan #Astro Awani #berita dalam negara #COVID-19 #Selangor #KKM #Dr Noor Hisham Abdullah #Rasuah #CPI #banci #e-Census #Annuar Musa #Anonymous Malaysia
;