Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
November 23, 2020 23:41 MYT
Antara pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 23 November 2020.
1) COVID-19: 1,884 kes baharu direkodkan jumlah tertinggi di Malaysia
Malaysia mencatatkan kes jumlah harian tertinggi COVID-19 dengan pertambahan sebanyak 1,884 kes dalam tempoh 24 jam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,882 merupakan penularan dalam negara, selebihnya kes import.
2) Penutupan sementara operasi kilang, Top Glove akan beri kerjasama penuh
Top Glove akan memberi bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan penutupan sementera operasi beberapa kilangnya di Klang.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Top Glove memberitahu pihaknya telah menghentikan sementara 16 operasi kilang pengeluarannya sejak 18 November 2020.
3) Sudah tiba masa BN keluar dari keadaan hari ini - Hishamuddin
Sudah tiba masanya untuk Barisan Nasional (BN) meletakkan kepentingan akar umbi untuk kekal relevan kepada rakyat.
Demikian jelas Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Hussein selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin.
4) "Tolong uruskan jenazah anak saya dan kebumikan dengan cara Islam" - Nota misteri ditinggalkan di sisi mayat bayi
"Saya dibuang keluarga disebabkan anak ini. Saya tiada tempat tinggal yang sempurna dan tidak ada duit untuk membawa anak ini ke hospital.
"Tolong uruskan jenazah anak saya dan kebumikan dengan cara Islam dan elok-elok," begitu sekeping nota yang ditinggalkan bersama mayat seorang bayi perempuan dipercayai berusia empat bulan, yang ditemukan berhampiran sebuah masjid di Sungai Way, di sini pada Ahad.
5) Kenangan bersama A. Ali akan dihargai sampai bila-bila - M. Nasir
Pemergian komposer terkenal A. Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakannya dalam kumpulan Kembara, Datuk M. Nasir.
Bagi komposer ternama itu, banyak kisah pahit manis yang dilalui beliau bersama Allahyarham sepanjang bersama Kembara yang akan dihargainya sampai bila-bila.
6) 28 kilang Top Glove di Klang diarah tutup berperingkat
Kerajaan bersetuju agar 28 kilang Top Glove di Kapar, Selangor ditutup secara berperingkat susulan peningkatan kes positif COVID-19 di lokaliti berkenaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi membolehkan pekerja menjalani ujian saringan COVID-19 dan proses kuarantin.
7) PKPB di Kuching dilanjut, PKPD di dua lokaliti diteruskan
Kerajaan mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Sabah dan Negeri Sembilan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan pelanjutan PKPD Kampung Sabah Baru, Lahad Datu dan Putra Point Nilai.
8) Alif Satar positif COVID-19: Kemungkinan jangkitan di luar lokasi persembahan - Ismail Sabri
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti sama ada jangkitan COVID-19 melibatkan seorang artis tanah air berlaku semasa persembahan atau di luar lokasi persembahan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, besar kemungkinan artis berkenaan dijangkiti di luar persembahan yang dihadirinya.
9) Sherry Alhadad negatif ujian saringan pertama COVID-19
Pengacara dan pelakon popular, Sherry Alhad mengesahkan dirinya negatif COVID-19 hasil keputusan ujian saringan pertama yang dilakukan semalam.
Dia ketika ini sedang menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah susulan rakan artisnya, Alif Satar disahkan positif COVID-19.
10) Ku Li umum tidak sertai perbahasan Belanjawan 2021
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat ditentukan.
Tengku Razaleigh menjelaskan pendiriannya itu menerusi surat bertarikh 19 November lalu kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.
#COVID-19 #Top Glove #A Ali #M Nasir #Tengku Razaleigh Hamzah #berita pilihan #Barisan Nasional #Hishammuddin Hussein
;