Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Oktober 27, 2020 23:00 MYT
Antara pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 27 Oktober 2020.
1) Dayang Topaz: Dua anak kapal disahkan meninggal dunia, 185 berjaya diselamatkan
Unit Korporat Jabatan Laut Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) menerima aduan kira-kira jam 6.45 pagi tadi daripada kapal Sapura Construction yang menerima isyarat kecemasan daripada kapal Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.
2) Insiden Dayang Topaz: Siasatan sedang berjalan - Petronas
Petronas hari ini menyatakan siasatan mengenai insiden melibatkan sebuah kapal yang terlanggar struktur platform di Minyak Baram, 14 batu nautika dari Miri pada 6.23 pagi tadi sedang dijalankan.
3) KKM saran jangan adakan pilihan raya pada masa ini - Dr Noor Hisham
Beliau berkata sekiranya pilihan raya itu tidak dapat dielakkan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mereka akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti kaedah berbeza untuk melaksanakan pilihan raya.
4) SOP Deepavali diumum selewat-lewatnya Jumaat ini - Ismail Sabri
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana, perkara itu akan dibincangkan dalam minggu ini sebelum sebarang keputusan dibuat.
5) Isu karikatur Nabi Muhammad: Dr Zulkifli titip surat kepada duta Perancis
Mewakili kerajaan Malaysia dan umat Islam negara ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri menulis surat khusus berhubung isu karikatur Nabi Muhammad SAW oleh akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo kepada Duta Perancis di Malaysia.
6) Islamofobia di Perancis: Anwar utus surat terbuka kepada Macron
Kenyataan yang dikeluarkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron amat menyinggung perasaan lantaran ia tidak berasas sama sekali.
7) Hajiji angkat sumpah sebagai ADUN
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di hadapan Speaker DUN, Datuk Kadzim M. Yahya di Dewan Mesyuarat Bangunan DUN Sabah, Teluk Likas, Kota Kinabalu.
8) Harga Proton X50 bermula RM79,200 hingga RM103,300
Model Proton X50 yang sejak sekian lama menjadi perbincangan rakyat Malaysia akhirnya dilancarkan secara rasmi menerusi laman Facebook rasmi Proton Holdings Bhd (Proton), pada Selasa.
9) Suspek utama Macau Scam lompat pagar SPRM ditangkap
Selepas lebih dua minggu menyembunyikan diri, ketua sindiket Macau Scam dan judi dalam talian, Goh Leong Yeong yang menjadi buruan polis, akhirnya diberkas awal pagi tadi.
10) Pemandu mabuk pertama didakwa di bawah akta pindaan baharu
Seorang juruteknik komputer menjadi individu pertama di Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, mengikut pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan berkaitan pemandu mabuk, yang berkuat kuasa Jumaat lepas.
#Petronas #Insiden Dayang Topaz #Suruhanjaya Pilihan Raya #SPRM #Deepavali #ismail sabri yaakob #SOP #pilihan raya #KKM #Emmanuel Macron #Islam #Mahkamah Majistret #Macau Scam #pemandu mabuk #rakyat Malaysia
;