Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 18, 2020 14:51 MYT
Antara pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 18 Oktober 2020.
1) #SokongPeniagaKecil: Netizen gerakkan kempen bantu peniaga terkesan
Semangat #KitaJagaKita dan #RakyatJagaRakyat tidak pernah putus sejak negara dilanda wabak COVID-19 malah jauh terpupuk dalam kalangan jiwa rakyat negara itu.
Sekali lagi, semangat kekitaan seumpamanya tercetus apabila orang ramai mengambil inisiatif untuk membantu peniaga kecil yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
2) Bayi 20 hari meninggal dunia dipercayai tersedak susu
Seorang bayi perempuan baru berusia 20 hari meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, dekat sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian itu disedari bapa angkat bayi itu yang berusia 35 tahun, apabila mendapati anaknya tidak sedarkan diri, kira-kira pukul 10 pagi.
3) Air pasang besar di Port Dickson terkawal - APM
Fenomena air pasang besar yang melanda persisiran pantai di Port Dickson sejak semalam dilaporkan terkawal susulan cuaca panas dan tiada sebarang limpahan air yang berlaku sehingga boleh mengakibatkan kejadian banjir.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Port Dickson, Kapt (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata bagaimanapun, sekiranya berlaku hujan lebat yang berpanjangan, beberapa kawasan berkemungkinan akan ditenggelami air terutama di kawasan rendah.
4) PKPD Penjara Alor Setar dilanjutkan selama dua minggu - Ismail Sabri
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Penjara Alor Setar dilanjutkan dua minggu lagi, bermula esok sehingga 1 November.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD ini bertujuan membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di kawasan tersebut.
5) COVID-19: MERCY Malaysia sedia lakukan intervensi secara optimum di Sabah
Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) bersiap sedia bagi melakukan intervensi secara optimum termasuk membantu petugas barisan hadapan menangani kes COVID-19 di hospital di Sabah.
Pengerusi MERCY Malaysia Sabah, Dr Anbarasu Ramalingam berkata, ia adalah sebahagian persediaan menghadapi kemungkinan pertambahan kes COVID-19 di negeri berkenaan.
6) Suami isteri antara tiga maut dalam kemalangan di Sungkai
Tiga termasuk sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung antara satu sama lain di Kilometer 88, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Sungkai pada Ahad.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Ridhwan Ismail, 22, yang memandu Perodua Myvi dan Mohamed Tahir Junus, 64, serta isterinya Nor Aini Mohd Sam, 54, yang menaiki kereta Proton Saga.
7) COVID-19: Usaha landaikan nilai R-Naught perlu kerjasama semua pihak - Dr Noor Hisham
Negara mula mencatatkan semula nilai R atau R-Naught (Ro) yang tinggi pada 7 September lalu dengan 1.7 dan nilai yang tinggi ini memberi kesan besar terhadap nilai Ro negara.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini adalah kerana peningkatan kes positif COVID-19 di negeri Kedah dan Sabah ketika itu.
8) 871 kes baharu COVID-19, tertinggi dalam sejarah
Kes COVID-19 terus menunjukkan trend membimbangkan apabila 871 kes positif dicatatkan pada Ahad, tertinggi dalam sejarah penularan virus itu dalam negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes positif di Malaysia kini sudah melepasi angka 20,000 dengan 20,498 kes direkodkan sehingga kini.
9) COVID-19: Virus itu mungkin boleh hidup lebih 9 jam pada permukaan kulit - Dr Noor Hisham
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan virus COVID-19 mampu hidup sehingga lebih sembilan jam di permukaan kulit manusia yang juga boleh meningkatkan risiko dijangkiti virus tersebut.
Jelasnya, berdasarkan kajian yang dijalankan sebelum ini, keadaan itu juga bergantung kepada jenis permukaan termasuk keadaan suhu yang sejuk.
10) Warga Pakistan buat laporan polis dakwa dipukul
Lelaki warga Pakistan yang dipukul selepas didakwa mengganggu seorang remaja perempuan di Taman Seri Indah, Kepala Batas pada Jumaat lalu membuat laporan polis semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, lelaki berusia 24 tahun itu membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul dua lelaki selain suspek bertindak meminta wang daripadanya.
#berita tempatan #dalam negara #berita pilihan