Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Farhana Joni
September 15, 2020 22:48 MYT
September 15, 2020 22:48 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 15 September 2020.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan penduduk di Sabah agar lebih berhati-hati susulan peningkatan kes dan kluster baharu di Lahad Datu dan Tawau.
Malah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), katanya normal baharu perlu sentiasa diamalkan oleh rakyat serta calon yang bertanding termasuk ketika berkempen.
Universiti Utara Malaysia (UUM) menangguhkan Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2020/2021 secara fizikal yang dijadualkan pada 5 dan 6 Oktober ini kepada 23 dan 24 Oktober depan berikutan keadaan semasa COVID-19 di Kedah.
Mujur pelakon popular, Nora Danish tidak mengalami sebarang kecederaan dalam perjalanan ke Cameron Highlands apabila jalan yang dilaluinya mengalami kejadian tanah runtuh pada Selasa.
Dia bersama kru penggambaran sebaliknya hanya terperangkap dalam kesesakan selama berjam-jam apabila Jalan Tapah-Cameron Highlands itu terhalang disebabkan kejadian berkenaan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi inisiatif Sistem Binaan Berindustri (IBS) menyasarkan 80 peratus daripada jumlah projek sektor swasta bernilai RM50 juta ke atas untuk mencapai skor 70 IBS menjelang suku keempat (Q4) tahun 2025.
Pendapatan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) meningkat empat peratus suku ke suku kepada RM1.09 bilion, bagi suku kedua tahun kewangan 2021 yang berakhir pada 31 Januari 2021.
Astro turut mencatat keuntungan selepas cukai (EBITDA) dengan kenaikan 81 peratus kepada RM134 juta bagi tempoh yang sama.
Nilai kebolehjangkitan atau Rt di Sabah meningkat dengan pertambahan kluster baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan tempatan bagi menawarkan harga tiket penerbangan yang berpatutan ke seluruh negara.
Banjir yang melanda bandar Sibu berada dalam keadaan terkawal setakat ini.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai (JBPM) Negeri Sarawak, John Sagun Francis bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Kumpulan Media Star akan melaksanakan pemberhentian pekerja untuk memenuhi sasaran pengurangan kos kakitangannya.
Menurut sumber, pemberhentian yang akan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini akan menggunakan kaedah 'Last-In-First-Out'. (LIFO).
Dana Lindung Nilai Patuh Syariah (Syariah Hedge Fund) yang pertama di Malaysia, meliputi lebih 70,000 saham di dunia dengan 400 komoditi patuh syariah bakal dicadangkan untuk pelancaran, tidak lama lagi.
Ia adalah kerjasama patuh syariah konglomerat pertama antara Pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dengan pengurus wang bertauliah di Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan.
#Astro
#banjir
#COVID-19
#Datuk Seri Nancy Shukri
#Ijazah Sarjana Muda
#Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya
#Kumpulan Media Star
#MOTAC
#Nora Danish
#Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
#Tan Sri Muhyiddin Yassin
#UUM