Berita palsu 'lebih cepat' tersebar berbanding virus COVID-19 - Dr Noor Hisham

Hasimi Muhamad
Jun 11, 2020 18:09 MYT
Sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.
Selain berdepan dengan cabaran mengekang penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui seluruh dunia kini bekerja keras mengatasi infodemik berhubung wabak tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyebaran berita palsu berkait virus tersebut dilihat 'lebih cepat' tersebar berbanding penularan COVID-19 itu sendiri.
Ini kerana ramai pengguna media baharu dan media sosial pada hari ini 'mengambil alih' tugas wartawan dengan menyebarkan maklumat tanpa batas masa.
"Sejak awal wabak COVID-19 lagi, kita telah berdepan dengan cabaran memerangi virus dan “viral”. Virus yang kita hadapi adalah virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan COVID19, manakala isu “viral” yang dimaksudkan pula adalah penularan berita palsu serta maklumat yang tidak sahih yang merebak dalam masyarakat secara lebih pantas daripada penularan virus COVID-19 itu sendiri.
"Seperti yang disebut oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, kita bukan sekadar memerangi wabak COVID-19, malah turut memerangi infodemik berkaitan dengan virus ini. Kedua-dua isu ini perlu kita tangani serentak," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengamal media dan dan wartawan memainkan peranan utama sebagai barisan hadapan dalam memberikan maklumat sahih serta memerangi berita palsu COVID-19.
“Ini termasuklah tugasan yang dijalankan oleh wartawan, jurugambar, jurukamera di lapangan, dan pelbagai petugas di studio misalnya penyunting, juru berita, petugas media sosial dan sebagainya.
“Malahan, jurubahasa isyarat juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menyampaikan maklumat kepada mereka yang berkomunikasi melalui bahasa isyarat.
“Pelbagai platform media massa, media sosial dan media baharu telah digunakan bagi memastikan orang ramai sentiasa dimaklumkan dengan maklumat dan berita yang tepat, cepat dan sahih mengenai wabak COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kebanyakan rakyat negara ini yang bersama-sama kerajaan memerangi COVID-19.
“Ramai yang telah menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan memuatnaik dan menyebar luas maklumat yang tepat dan sahih mengenai COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai maklumat berkaitan yang disalurkan oleh kerajaan.
“Namun begitu, terdapat segelintir netizen yang tidak bertanggungjawab dan menyebar maklumat palsu. fitnah dan lebih serius ada juga yang menghasut orang ramai untuk tidak akur kepada peraturan dan nasihat yang diberikan,” katanya.
Setakat semalam, sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.
Daripada jumlah tersebut, 30 kes telah didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 telah mengaku bersalah.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #KKM #koronavirus #media sosial #Noor Hisham Abdullah #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Polis Diraja Malaysia #WHO
;