Berita palsu hanya menyusahkan rakyat - PM
Rizal Zulkapli
Mac 22, 2017 11:18 MYT
Mac 22, 2017 11:18 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengecam tindakan segelintir pihak yang cuba menyebarkan ‘berita palsu’ mengenai situasi ekonomi negara.
Dalam ucaptama di Forum Transformasi Global 2017 di Kuala Lumpur, Najib mendakwa pihak tersebut memberikan ancaman kepada ekonomi negara untuk kepentingan politik dan peribadi.
Katanya, ini seterusnya hanya akan menyusahkan rakyat.
Beliau menambah, antara kesan sabotaj ekonomi ini adalah risiko kepada pelabur asing membatalkan kemasukan pelaburan ke dalam Malaysia.
Perdana Menteri memberikan contoh perjanjian bernilai US$ 7 bilion (RM31 billion) bersama syarikat Saudi Aramco dalam Kompleks Berintegrasi Pengerang, PIC yang nyaris gagal kerana berita palsu yang disebarkan.
Tambah beliau, ini lebih buruk kerana berita palsu tersebut melibatkan bekas pemimpin negara yang mendakwa Malaysia dijangka muflis.
Perdana Menteri menegaskan kepada hadirin yang terdiri daripada tokoh perniagaan dalam dan luar negara bahawa ekonomi Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang positif.
Ini termasuk pengwujudan 1.8 juta pekerjaan baru, peningkatan pendapatan negara kasar sebanyak 50% dan pengurangan kadar kemiskinan tegar kepada 0.6% dari 2010 ke 2016.
Forum ini akan turut menampilkan speaker seperti pengasas Alibaba.com Jack Ma yang akan turut melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital petang Rabu, atlet Sukan Olimpik Usain Bolt dan Pengasas Kumpulan Virgin, Sir Richard Branson.