Berita palsu akan terus tersebar selagi ada permintaan daripada masyarakat

Ridauddin Daud
Oktober 7, 2020 08:42 MYT
Fadhlullah Suhaimi berkata, SKMM turut bekerjasama dengan syarikat luar negara untuk menurunkan berita palsu yang dimuat naik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Berita palsu akan terus tersebar selagi adanya ‘permintaan’ dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, sekiranya rakyat sedar maklumat diterima adalah palsu dan tidak membaca atau mengongsikannya, berita itu pasti tidak akan ke mana-mana.
“Tetapi kalau kita sebagai pengguna masih lagi suka baca berita palsu dan panjangkan pula kepada kawan-kawan, maka masalah itu akan sentiasa berterusan.
“Ini bukan saja masalah kawal selia tapi kena lihat pada diri sendiri juga,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, dalam memerangi berita palsu, SKMM melaksanakan beberapa strategi termasuk memaklumkan kepada masyarakat bahawa hanya ada ‘freedom of speech’ bukan ‘freedom of lies’.
Selain itu, suruhanjaya itu juga bekerjasama dengan syarikat luar negara untuk menurunkan berita palsu yang dimuat naik apabila diminta SKMM.
“Ketiga, kita lakukan siasatan sekiranya ada laporan polis dan sekiranya kita jumpa pelaku salah, polis akan ambil tindakan berdasarkan akta yang ada.
“Keempat, kita berhubung dengan agensi lain kerana terdapat cara lain untuk membanteras berita palsu,” ujarnya.
Tegas Fadhlullah Suhaimi, SKMM akan terus aktif mengambil tindakan terhadap mereka yang gemar mereka dan menyebarkan berita palsu sehingga menghadirkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Kalau kita nak mengharapkan SKMM pantau semua kandungan dalam internet, terus terang saya cakap ia agak sukar.
“Kalau masyarakat maklumkan, kita akan melaksanakan siasatan dan kita akan bantu untuk atasi masalah tersebut,” katanya.
#berita palsu #SKMM #MCMC #fake news #media sosial #Astro Awani #polis #siasatan #rakyat #permintaan #demand #supply #Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek #luar negara
;