Berita dua mayat mangsa culik dijumpai di P.Pinang palsu - Polis

Bernama
September 10, 2018 23:02 MYT
Thaiveegan meminta orang ramai berhenti mengedar dan berkongsi cerita serta berita tidak sahih melalui media sosial. - BERNAMA/Fail
Polis Pulau Pinang menafikan berita yang tular di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lepas berhubung penemuan mayat dua wanita yang kononnya diculik di sebuah stesen minyak di negeri itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata berita tentang penemuan mayat itu tidak benar sama sekali, bahkan beberapa kali ditularkan sejak Mei 2014.
"Saya menafikan mengenai ulangan berita palsu tentang kejadian mayat dua wanita ditemui selepas diculik. Ia tidak benar dan telah ditular oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan suka menimbulkan perasaan gusar di kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dan terpengaruh dengan berita-berita pelik serta palsu seperti itu.
Thaiveegan turut meminta orang ramai berhenti mengedar dan berkongsi cerita serta berita tidak sahih melalui media sosial kerana tindakan sebegini mampu mengancam ketenteraman dan keharmonian awam.
Tular di media sosial sejak beberapa hari lepas kononnya seorang wanita dan rakannya berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak sebelum seorang lelaki dikatakan anggota sindiket culik telah masuk ke dalam kereta dan menculik mereka.
Susulan kejadian itu, dikatakan mayat dua wanita berkenaan ditemui di Pulau Pinang dengan beberapa organ badan telah tiada kerana sindiket tersebut menjual organ mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga India cedera parah diketuk dengan tukul besi dalam insiden di Jalan Kapitan Keling, di sini semalam, direman lima hari.
Katanya, wanita berusia 46 tahun yang merupakan bekas teman wanita mangsa berumur 24 tahun itu bertindak sedemikian kerana lelaki berkenaan enggan lagi memberi wang kepada suspek selepas merekaberpisah sejak dua minggu lepas.
"Wanita itu juga berang selepas mangsa memutuskan perhubungan cinta dengannya. Lelaki tersebut masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan menurut doktor, keadaannya boleh menyebabkan maut kerana mangsa mengalami pendarahan dalam otak," katanya.
Dalam kejadian pukul 4 pagi Ahad, mangsa yang merupakan juruwang sebuah kedai serbaneka mengalami kecederaan parah di kepala selepas diserang wanita itu dengan tukul besi semasa dia sedang bekerja di premis perniagaan berkenaan. -- Bernama
#berita palsu #Facebook #media sosial #polis pulau pinang #viral
;